Thursday, October 7, 2010

Home » , , » Tips & Cara Beri Bantuan Kecemasan Kepada Anak

Tips & Cara Beri Bantuan Kecemasan Kepada Anak

Salam


Panduan untuk semua ibubapa/ pengasuh bayi & kanak-kanak. Sumber diperolehi daripada Harian Metro, ditulis oleh Siti Zarinah Sahib.



Kes kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap bulan, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.


Ia sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.


Menurut Pakar Kanak-Kanak, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi, Dr Nik Rosenorleyaney Nik Ibrahim, kes kematian akibat menyusu ketika tidur atau sedar berpunca daripada bayi yang ditinggalkan menyusu bersendirian tanpa pengawasan.


Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka.


"Dalam tubuh manusia, terdapat dua saluran iaitu pernafasan pada bahagian hadapan manakala saluran makanan pada bahagian belakang. Apabila bayi minum dalam keadaan tergesa-gesa atau mungkin lubang puting botol yang terlalu besar, susu akan terus mengalir tanpa henti ketika bayi tertidur.


"Sudah tentu bayi tidak mempunyai daya untuk menarik botol itu sendiri menyebabkan susu memasuki saluran pernafasan, seterusnya ke dalam paru-paru. Apabila ini berlaku, biasanya bayi akan tersedak atau batuk iaitu tindakan refleks yang menunjukkan bayi memerlukan pertolongan atau perlindungan.


"Namun, bagi bayi yang ditinggalkan berseorangan, sudah tentu tidak mendapat maklum balas menyebabkan bayi lemas kerana tidak dapat bernafas. Walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ini sudah cukup untuk melemaskan mereka.


"Dalam masa beberapa saat saja jika tidak diberi bantuan kecemasan segera, bayi akan terus meninggal dunia," jelasnya mengulas beberapa kejadian yang berlaku, baru-baru ini.


Tambahnya, sebagai penjaga sama ada pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu kemudian mereka meninggalkan bayi minum sendirian tidak sepatutnya berlaku.


Ini kerana, ia boleh meningkatkan risiko bayi lemas. Sepatutnya, ibu bapa dan pengasuh menyusukan bayi mereka dengan cara yang betul.

Yang ini tips-tips yang perlu diketahui:


1) Ketika menyusu tidak kira susu botol atau susu badan, pastikan kedudukan kepala bayi lebih tinggi daripada dada dan perutnya. Botol susu pula mesti dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.

 2) Pastikan juga lubang puting botol tidak terlalu besar bagi mengelakkan angin masuk ke dalam perut bayi. Sekiranya menyusu badan, pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi.

3) Elakkan memberi susu dengan meletakkan bayi di atas lantai, sebaiknya pangku bayi seperti mana teknik menyusu badan. Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin dan mengelak bayi muntah ketika tidur," katanya.

Selain bayi, kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas juga boleh mengalami sesak nafas disebabkan tercekik makanan seperti kacang atau gula-gula. Ini disebabkan mereka makan sambil bermain dan akhirnya makanan itu masuk ke dalam saluran pernafasan, seterusnya ke bahagian paru-paru.

Sama seperti kes tersedak susu, jika tidak diberi rawatan segera, mangsa akan terus meninggal dunia.

Menurut Dr Nik Rosenorleyaney, bagi mengelak bayi meninggal dunia akibat tersedak susu atau tercekik makanan, ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai pengalaman melakukan rawatan kecemasan di rumah.

Apa perlu buat :
1) Sekiranya bayi tersedak susu atau tercekik makanan, segera angkat bayi, kemudian tepuk belakang mereka beberapa kali dengan cara membiarkan muka ke bawah atau meniarapkan bayi di atas lutut kemudian tepuk belakang bayi sehingga makanan atau cecair keluar dari mulut bayi dan bayi menangis seperti biasa.


2) Ini menandakan mereka sudah boleh bernafas. Bagi bayi yang tercekik makanan, sekiranya makanan yang ada dalam mulut kanak-kanak tidak keluar, korek sehingga mereka terbatuk atau memuntahkan makanan itu.

3) Tindakan ini perlu dilakukan segera dalam satu minit pertama sebelum mangsa dibawa ke hospital. Dikhuatiri kelewatan melakukan bantuan kecemasan ini akan menyebabkan anda kehilangan orang yang tersayang," katanya.

Selain tersedak susu dan tercekik makanan, kebanyakan kematian mengejut membabitkan bayi dan kanak-kanak berpunca daripada sindrom goyangan bayi, tidur meniarap dan kecederaan bilik mandi.

Perkara-perkara yang perlu diambil perhatian (kita selalu terlepas pandang):
1) Ramai ibu bapa tidak tahu hayunan di dalam buaian boleh menyebabkan gegaran pada otak bayi. Ini kerana di dalam otak bayi masih mempunyai ruang di antara tengkorak dan otak. Gegaran yang kuat akan menyebabkan berlakunya pendarahan, seterusnya menyebabkan kematian.

Kebanyakan ibu bekerja menggunakan buaian untuk memudahkan kerja. Namun ada yang menggoyang terlalu kuat mengikut irama suara anak, semakin kuat anak menangis, hayunan lebih kuat. Sebaiknya ajar anak tidak menggunakan buai atau membiarkan buai tidak bergerak.

"Ini termasuk sama ada buaian biasa atau elektrik yang turut memberi risiko sama," katanya yang mengakui biasanya kes yang dirujuk di hospital menunjukkan bayi tidak mengalami demam atau sawan tetapi meninggal secara tiba-tiba. Daripada imbasan dijalankan, didapati berlaku pendarahan otak yang sukar diselamatkan.

2) Tambahnya, ada juga kes bayi yang meninggal ketika tidur yang boleh dikategorikan sebagai sindrom kematian mengejut. Ini berlaku bagi bayi yang tidur meniarap.

Menidurkan bayi secara meniarap boleh menyebabkan bayi lemas dan akhirnya meninggal dunia secara tiba-tiba. Ini berlaku bagi bayi yang masih belum berupaya mengangkat dan memusingkan kepala sendiri. Biarkan bayi tidur terlentang bagi mengelak lemas.

3) Pastikan alas digunakan lembut dan tidak tenggelam. Elakkan penggunaan selimut kerana turut memberi risiko sekiranya kain itu menutupi muka bayi," katanya.

4) Perkara yang jarang diambil perhatian ialah keselamatan di bilik mandi. Sekiranya anak sudah pandai merangkak dan berjalan, sentiasa pastikan pintu bilik air tertutup dan tiada baldi atau besen berisi air. Walaupun air di dalamnya hanya berisi enam inci, ia sudah cukup melemaskan bayi sekiranya muka bayi termasuk di dalamnya dan seterusnya menyekat saluran pernafasan.

5) Ibu bapa bekerja yang menghantar anak ke pusat penjagaan kanak-kanak harus memastikan pusat penjagaan itu mempunyai sijil yang sah juga pengasuh berpengalaman yang mempunyai pengetahuan mengenai bantuan kecemasan.

6) Di samping itu, tinjau kawasan sekitar seperti tandas, dapur, tempat tidur dan tempat bermain yang selamat untuk anak mereka.

Panduan keselamatan ketika di pusat penjagaan kanak-kanak (ibu bapa kena pantau juga ni) :

> Pastikan pusat penjagaan kanak-kanak tidak menggunakan buai.
> Setiap bayi tidur di dalam katil masing-masing dan diasingkan mengikut usia bagi mengelak bayi terlanggar atau terpijak.
> Menggunakan peralatan tidur yang selamat misalnya tilam yang tegang dan rata supaya bayi senang bergerak.
> Mempunyai peralatan untuk mensterilkan susu sama ada untuk susu formula atau ibu bagi mengelak keracunan makanan.
> Orang menyediakan susu adalah orang yang sama. Ini bagi mengelak tertukar susu terutama bagi bayi yang alah dengan susu lembu.
> Pemberian susu botol harus diberikan secara orang perseorangan mengikut posisi menyusu badan. Elakkan memberi susu ketika bayi berbaring.
> Tempat menguruskan bayi harus diasingkan daripada dapur atau memasak makanan di tempat lain kemudian dibawa ke pusat penjagaan kanak-kanak. Ini bagi memastikan kebersihan serta mengelak kanak-kanak bermain dengan peralatan berbahaya di dapur.
> Elakkan penggunaan cerek, sebaiknya gunakan termos yang boleh dikunci.
> Pastikan mainan yang tidak berbucu atau bersegi yang boleh menyebabkan kanak-kanak menggunakannya untuk mengetuk kepala kanak-kanak lain.
> Hanya menggunakan barang permainan yang tidak mempunyai pewarna berbahaya.
> Anak patung haruslah yang mudah dibasuh serta tidak menyebabkan alahan terutama penyakit asma.

2 comments

October 7, 2010 at 12:47 PM

good info..thanks for sharing..

October 7, 2010 at 1:47 PM

bagus...bagus... info yg bernassss thanksss

Post a Comment